Apa itu aqidah???

Assalamualaikum wbt~~
Apa itu aqidah dan mengapa kita harus tahu apa itu aqidah yang sahih?
Jom kita belajar sama-sama yuk!
Penjelasan daripada Ustaz Rasyid Idris tentang aqidah:)

Maksud aqidah???

Kalimah aqidah berasal daripada Bahasa Arab yang berakar umbi daripada kalimah:
عقد ، يعقد ، عقدا وعقيدة yang bermakna ikat (dengan ketat), mengikat dan ikatan yang kukuh, juga bermakna perjanjian.

Di sudut istilah, Aqidah Islamiyyah telah diberi beberapa takrif oleh beberapa orang sarjana Islam. Namun boleh dikatakan kesemua takrif itu menjurus kepada satu asas iaitu:
membenarkan dan mengiktiraf dengan sepenuh hati tanpa sebarang pengubahsuaian atau kompromi terhadap Allah dan rasul-Nya yang tersemat erat di dalam hati sanubari.

Kandungan aqidah yang sebenar:

1. Al-Quran adalah sumber bagi dalil-dalil naqli dan akli.

2. Menurut jejak langkah dan kefahaman golongan salaf di dalam mentafsirkan nas.

3. Beriman terhadap perkara-perkara ghaib adalah sekadar apa yang datang dengan perkhabaran yang benar (Al-Quran dan al-hadith yang thabit).

4. Membahagikan (di sudut pengajian) tauhid kepada 3, iaitu: Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan al-Asma’ wa as-Sifat.

5. Mengithbatkan nama-nama dan sifat-sifat Allah tanpa sebarang persoalan: bagaimana? (kayf?)

6. Menghimpunkan antara ithbat dan tanzih (mensucikan Allah daripada disamakan dengan makhluk atau sebarang sifat kekurangan).

7. Menghadkan penggunaan akal serta tidak bersandar kepadanya dalam perkara-perkara yang di luar kemampuannya.

8. Menolak takwilan-takwilan ilmu Kalam yang tersasar dari kebenaran.

9. Allah taala memiliki perumpamaan dan contoh yang tertinggi lagi terbaik.

10. Menetapkan batas makna bagi istilah-istilah yang diperselisihkan maknanya, dan menentukan maknanya.
Contohnya: lafaz Tauhid di sisi Ahl As-Sunnah ialah: “mengithbatkan ketuhanan hanya bagi Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya di dalam pengabdian”.

Tetapi bagi golongan ilmu Kalam, maknanya ialah: “apa yang tiada sifat bagi-Nya, tidak diketahui apapun daripada-Nya tanpa sesuatu serta tidak boleh dilihat”.

11. Meyakini bahawa al-Quran itu seluruhnya adalah Bahasa Arab yang jelas dan boleh difahami oleh ahlinya.

12. Mengithbatkan bahawa isu-isu cabang dalam aqidah dengan khabar ahad yang diterima, secara membenarkannya dan beramal dengannya.

13. Penilaian kebaikan dan keburukan adalah urusan akal (yang dipandu syarak), tetapi pahala dan dosa adalah urusan syarak. Allah taala yang menunjukkan kepada manusia agar mengakui kebaikan sifat: adil, memelihara kehormatan, benar dan lain-lain.

Begitu juga dengan sifat-sifat yang bertentangan dengan sifat-sifat tadi. Dosa dan pahala pula adalah berkait rapat dengan suruhan dan tegahan Allah.

14. Nas naqli yang sahih akan menyepakati akal yang jelas.

15. Tidak boleh mengkafirkan orang Islam hanya kerana suatu kesalahan atau dosa yang dilakukannya.

Mengapa penting bagi kita beramal dengan aqidah yang sahih???

1. Aqidah yang sejahtera lagi jitu dapat menghimpunkan manusia dan mempertautkan hati mereka.

2. Aqidah yang benar menjadi neraca timbang yang tepat dan mapan dalam menentukan kedudukan seseorang di sisi syarak.

3. Slogan: “kembali kepada Islam” bermakna kembali kepada asasnya iaitu: aqidah yang benar, di mana dari situ baru berbuah amal yang soleh.

Ustaz Rasyid merupakan Presiden Institut Al-Qayyim

komen BAIK: Cara yang mudah untuk memahami aqidah adalah dengan menggunakan analogi sebuah pokok. Pokok yang mempunyai akar yang kuat dan sihat(aqidah yang betul) akan menghasilkan buah yang berkualiti dan begitulah sebaliknya. Wallahua'lam...



Biro.Agama.Islam.KUBI-B.A.I.K



Memahami fiqh?

Soalan:~ Bagaimana ya cara-cara nak memahami fiqh?
Al-jawab:~
Kaedah 1:الأمور بمقاصدها

Terjemahan: Segala perkara bergantung kepada tujuannya.

1. Kaedah ini adalah salah satu daripada lima kaedah feqah yang utama yang menjadi tunjang kepada banyak kaedah-kaedah feqah yang lain. Kaedah-kaedah itu dikenali sebagai ‘Al-Qawaed Al-Fiqhiyyah Al-Kubra’.

Lima kaedah tersebut ialah:
i- Segala perkara bergantung kepada tujuannya.
ii- Suatu keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak (sangkaan).
iii- Kemudaratan mesti dihapuskan.
iv- Adat dirujuk dalam menentukan hukum.
v- Kesusahan mendatangkan kemudahan.


2. Kaedah ‘Segala perkara bergantung kepada tujuannya’ bersumberkan kepada banyak dalil daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Salah satunya ialah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:إنما
الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى

Maksudnya: “Segala amalan berdasarkan kepada niat, dan setiap orang memperoleh apa yang diniatkannya”.

Hadis ini direkod dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.


3. Hadis ini membawa pengertian yang sangat besar dalam syariat Islam. Imam Bukhari berkata, “Tidak terdapat dalam khabar-khabar (hadis) Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam satu hadis yang lebih mencakupi, lebih mencukupi, dan lebih banyak faedah, daripada hadis ini”. Ramai imam salaf menjulang kedudukan hadis ini dan membuat rumusan bahawa ia adalah satu pertiga daripada ilmu. Antara yang mengatakan demikian ialah Syafie, Ahmad, Ibn Mahdiy, Ibn Al-Madiniy, Abu Daud, dan Al-Daraqutniy.

4. Ketinggian taraf hadis ini secara tidak langsung menunjukkan kepentingan kaedah: “Segala perkara bergantung kepada tujuannya’. Ia juga mencakupi kebanyakan bab dan fasal dalam ilmu feqah.

5. Maksud umum kaedah ini ialah: Segala perkara yang lahir dari seorang mukallaf samada dalam bentuk perbuatan atau pertuturan, maka hukum hakamnya ditentukan berdasarkan maksud dan tujuan dia melakukan atau menuturkannya. Jadi, niat dan maksud seseorang berperanan penting dalam menentukan suatu hukum.

6. Daripada kaedah ini, kita dapat bezakan antara perbuatan yang dilakukan dengan niat, dan perbuatan yang berlaku secara tidak sengaja atau tanpa niat. Hukumnya pun berbeza. Sebagai contoh, dua orang lelaki, A dan B telah melakukan perbuatan membunuh. A sengaja melakukan pembunuhan terhadap orang yang tidak bersalah, manakala B tidak ada niat langsung untuk membunuh, tetapi tersilap sehingga menyebabkan kematian orang lain. Dalam perundangan Islam, hukuman terhadap kedua-duanya A dan B adalah berbeza. Kerana A membunuh dengan niat, manakala B membunuh secara tidak sengaja.

7. Satu perbuatan yang sama tetapi dilakukan dengan tujuan yang berbeza, natijah yang terhasil juga akan berbeza bergantung kepada apa yang diniatkan. Contohnya orang yang berperang dalam barisan tentera Islam, jika bertujuan untuk meninggikan kalimah Allah, maka dia akan mendapat balasan yang baik. Manakala orang yang berperang kerana mahu menunjuk-nunjuk bahawa dia seorang yang berani dan pahlawan, akan mendapat balasan yang buruk. Berbeza balasan disebabkan berbeza tujuan.

8. Niat terbahagi kepada dua jenis;

i- Niat dalam amalan.Niat dalam amalan berperanan untuk membezakan antara amalan ibadah dengan perlakuan bukan ibadah. Contohnya, seorang yang tidak makan dan minum pada waktu siang. Mungkin dia manahan lapar kerana melakukan diet, atau disebabkan tiada makanan, atau kerana berpuasa. Jadi dengan berniat puasa, dapat dipastikan bahawa perbuatan itu adalah ibadah.

Selain itu, niat juga berperanan membezakan antara ibadah-ibadah. Contohnya, seorang yang berpuasa mungkin tujuannya puasa sunat, atau puasa qadha, atau puasa kaffarah. Jenis puasanya dapat ditentukan melalui niat.

ii- Niat untuk apakah dilakukan amalan.Maksud niat jenis ini ialah satu-satu perlakuan ibadah adakah dilakukan ikhlas kerana Allah Taala, ataupun dilakukan kerana tujuan lain? Niat inilah yang membezakan antara ikhlas, riyak, sum’ah, dan lain-lain.

9. Niat wadahnya ialah di dalam hati. Demikian menurut sekalian ulama Islam. Oleh itu, seseorang yang meniatkan di dalam hati, tanpa melafazkan dengan lidahnya, maka ia sudah memadai di sisi sekalian ulama.

10. Pengetahuan tentang niat dalam ibadah mesti dipelajari dan difahami secara betul. Kerana kefahaman yang silap tentang konsep niat kadang-kadang menyebabkan kepayahan dalam ibadah. Natijahnya, timbul penyakit waswas yang akan merosakkan ibadah. Benarlah kata-kata sesetengah ulama bahawa punca penyakit waswas ialah kejahilan dalam agama dan kebingungan dalam akal. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada kejahilan dalam agama.

Sekian.

by Abu Umair (AAN)

Biro.Agama.Islam.KUBI-B.A.I.K

Doktor atau ahli farmasi?


Orang yang hanya menghafal nama-nama ubat di farmasi, tidak boleh dipanggil sebagai doktor. Menjadi doktor mestilah dengan mengikuti program perubatan secara formal di universiti-universiti. Membaca dan menelaah buku-buku perubatan yang tebal mesti menjadi hobi. Berani pula didedahkan dengan mayat untuk autopsi. Selepas segala teori dan asasnya dipelajari, barulah boleh dihadapkan dengan pesakit sebenar di peringkat klinikal.

Begitu juga ilmu fiqh. Ia bukan semudah menghafal hukum-hakam yang termaktub dalam kitab-kitab fiqh. Seseorang yang menghafal ribuan masalah fiqh pun tidak bererti dia seorang faqih. Kerana fiqh bukan sekadar hafalan. Tetapi meliputi penguasaan asas, dasar, dan prinsip yang membina ilmu ini. Atau lebih dikenali dengan Usul Fiqh.


Ilmu yang mengajar kita bagaimana sesuatu hukum dikeluarkan daripada nas Quran dan Hadis. Jika nas berbentuk perintah, hukumnya wajib. Jika nas berbentuk larangan, hukumnya haram. Ada juga nas yang bentuknya larangan, tetapi hukumnya harus.


Bagaimana cara mengetahuinya?

Ahlan wa sahlan

ASSALAMUALAIKUM

"Selamat datang!" ke blog rasmi Biro Agama dan Kerohanian Kelab UMNO Bandung Indonesia; ataupun lebih mesra dikenali sebagai BAIK (Biro Agama Islam KUBI)

Di sini kami menyediakan ruangan khusus untuk rakan-rakan khususnya di UNPAD untuk mengetengahkan dan mengutarakan apa-apa kemusykilan tentang Islam di sini. Sebarang soalan bolehlah di'email'kan kepada:
baik.kubi@gmail.com

Malu bertanya, sesat jalan~

Semoga segala usaha kita diredhai Allah SWT...

Selamat membaca~

=)

Mutabaah Ibadah

  1. membaca al-Quran serta terjemahan- sekali sehari
  2. berjemaah di waktu solat - sekali sehari
  3. solat berjemaah di masjid- sekali sehari
  4. solat di awal waktu- dua kali sehari
  5. berpuasa sunat - dua kali sebulan
  6. membaca bahan bacaan berkaitan dengan ilmu agama (artikel,blog,buku)- sekali sebulan
  7. Riadah bersama rakan-rakan- dua kali sebulan
  8. Qiamullail (solat malam)- sekali sebulan
semangat yuk kawan-kawan.. mari jaga hubungan dgn Allah^_^