Seni Ber'istiqamah'.

Biro.Agama.Islam.KUBI-B.A.I.K


Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Setelah sekian lama BAIK tidak menulis sebarang post, Alhamdulillah hari ini diberi kekuatan oleh sang Qawwiy untuk menulis beberapa rangkap renungan untuk kita bersama. Post ini hanya ditulis sebagai renungan bersama, sebarang komen, pertanyaan dan saranan amat dialu-alukan. :)

Beberapa bulan lalu (Nampak sangat da lama tak update..=.=") ada sahabat yang bertanyakan soalan yang bunyinya lebih kurang :
"boleh tak kalau seorang dai’e tu nak berhenti berdakwah sekejap atas alasan perlu berehat sebentar?" "Macam mana nak beristiqamah?"
(kalau tak betul pun lebih kurang kot.. :p)

Soalan sebenar dah pun hilang atas sebab-sebab teknikal, maaf atas yang bertanya dulu.

Sebelum soalan diatas dijawab, mari renungkan sebentar beberapa poin dibawah.

Hakikat seorang Manusia/Insan

Hakikat seorang manusia itu lemah, dan mempunyai banyak sekali keterbatasan dan kekurangan. Manusia tidak mampu berdiri sendiri bahkan sangat memerlukan pergantungan kepada pihak lain. Disamping itu, iman manusia juga bersifat tidak menentu, adakalanya semangatnya menaik tinggi untuk beribadah sampaikan boleh berjaga semalaman tanpa tidur dan adakalanya turun menjunam sampaikan terasa terlalu berat untuk mengerjakan solat fardhu 5 waktu. Itu lumrah.

Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran :

"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah" (An-Nisaa’: 28)

"Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji." (Fatir : 15)

Namun manusia juga diberi keistimewaan yang tidak ada pada makhluk ciptaan Allah yang lain. Manusia punya akal untuk berfikir dan merancang.

"Dan sungguh, Kami telah muliakan anak cucu Adam, dan Kami angkut mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka diatas makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna" (Al-Isra’ : 70)

Secara kesimpulannya, iman manusia itu boleh bertambah dan berkurang, ditambah lagi dengan norma manusia yang bersifat lemah dan perlukan pergantungan kepada orang lain, maka tidak mustahil seseorang dai’e itu boleh merasa lelah dan putus asa. Namun manusia juga dikurniakan kelebihan dan amanah yang perlu dilaksanakan. Maka janganlah biarkan 'kelemahan' sebagai alasan dan penghalang untuk terus melaksanakan amanah diatas bumi Allah ini. Tidak mengapa berasa penat dan ingin berhenti, tetapi jangan pernah serik dan mengambil masa yang terlalu lama untuk bangun kembali.

Ambillah pengajaran daripada anak-anak kecil yang sedang berlajar untuk berjalan, pastinya jatuh dan jatuhnya menyakitkan. Kadangkala dia terduduk menangis, tetapi itu sama sekali tidak pernah menghalangnya untuk belajar berjalan seperti orang biasa sehingga dia berjaya berjalan tanpa jatuh. Kita boleh jatuh, tapi janganlah mengambil masa yang terlalu lama untuk jatuh, bingkas bangun dan terus mencuba. Itulah cabaran sebenar. Boleh jadi anda memerlukan kejatuhan lebih daripada anda memerlukan kejayaan itu sendiri.

Rahsia Istiqamah

Tiada rahsia dalam istiqamah melainkan kesungguhan. Namun, mungkin perkara-perkara dibawah perlu kita renungi dalam 'perjuangan' kita mengekalkan istiqamah selama ini.

1)      Niat

Perbaharuilah setiap niat sebelum melakukan sesuatu. Hanya dengan niat yang benar manusia itu dapat mengekalkan momentumnya dalam melakukan pekerjaan dengan baik. Niat juga seeloknya lebih spesifik, agar kita benar-benar mengerti mengapa kita melakukan sesuatu perkara. Setelah itu, perbaharuilah niat setiap hari, agar kita tidak mudah lupa niat asal kita.

2)      Perancangan

Seorang daie yang baik perlulah tersusun dalam segala urusannya seperti yang terdapat dalam muwassafat tarbiyyah. Niat yang benar akan membawa matlamat yang jelas. Matlamat hanya dapat direalisasikan dengan perancangan yang baik. 
Sebaiknya rancanglah bagaimana masa kita ’bersemangat’ dan masa kita ’lemah’ agar keduanya dapat dimanfaatkan dengan baik. Contohnya, gunakan masa 'bersemangat' untuk memperbaiki diri dengan sebaik-baiknya sehinggakan waktu 'lemah' kita tidak memberi impak terlalu besar dalam amalan kita. Rancanglah dengan spesifik berapa lama (seandainya kita mahu) 'berehat' dan berapa lama kita harus 'memperbaiki diri sendiri', 'mendalami ilmu' dan sebagainya.

3)     Ingat mati

Manusia yang paling bijak itu adalah manusia yang mengingati mati. Manusia yang mengingati mati pasti sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara, dan akhirat itu kekal abadi. Dengan mengingati mati, ianya dapat menyuntik motivasi untuk melakukan yang terbaik dalam setiap perbuatan kita dan tidak mensia-siakan masa yang ada. 

4)      Tahu titik kuat dan lemah diri

Kenalilah diri sendiri sedalam-dalamnya. Muhasabah diri dan kenali dimana titik lemah kita yang sebenarnya. Raikanlah kelemahan diri dan atasinya dengan kelebihan yang ada. Kelemahan harus diatasi, bukan lari daripadanya.

5)      Persekitaran yang baik dan positif

Persekitaran yang baik merupakan 'back-up system' yang seharusnya ada bagi setiap manusia. Lumrah manusia memerlukan teman, maka pastikan anda mempunyai lingkungan yang baik dan mampu mengingati anda disaat anda terlupa. Dampingilah orang-orang berfikiran positif dan seraplah cas-cas  positif mereka. Seandainya anda mula merasa lemah, janganlah berseorangan, dapatkanlah nasihat dari teman ataupun orang yang boleh memberi nasihat yang baik untuk membantu anda.  

6)      Jangan tinggal kewajiban.

Walau selemah mana seorang dai’e itu sekalipun, jangan sampai meninggalkan amalan-amalan wajib dan rutin yang dilakukan. Bersungguh-sungguh, walaupun sukar, untuk memelihara yang wajib sebelum melakukan yang sunnah. 

7)      Doa

Senjata umat Islam yang tiada tandingan.  Sentiasalah berdoa kepada Allah agar diberi ketetapan hati dan kekuatan untuk beristiqamah dalam sesuatu perkara. Yakinlah, Dia Maha Mendengar.

Walaubagaimanapun, istiqamah hanya boleh dikekalkan dengan bermujahadah (bersungguh-sungguh). Tanpa kesungguhan, sudah pasti istilah istiqamah hanya seperti omong kosong yang takkan pernah tercapai. Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka berubah sendiri. J

Akhir kata, renungilah hadith dibawah,

Dari Abu Amr -ada yang mengatakan Abu Amrah - Sufyan bin Abdillah Ats-Tsaqafi ra. berkata,
"Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku suatu perkataan tentang Islam, yang tidak mungkin aku tanyakan kepada siapapun selain kepadamu."Rasulullah saw. bersabda, "Katakan: 'Aku beriman kepada Allah', lalu istiqamahlah."

When there's a will, there's a way. InsyaAllah..

p/s : Mulakan setiap perbuatan dengan Bismillah.

Ahlan wa sahlan

ASSALAMUALAIKUM

"Selamat datang!" ke blog rasmi Biro Agama dan Kerohanian Kelab UMNO Bandung Indonesia; ataupun lebih mesra dikenali sebagai BAIK (Biro Agama Islam KUBI)

Di sini kami menyediakan ruangan khusus untuk rakan-rakan khususnya di UNPAD untuk mengetengahkan dan mengutarakan apa-apa kemusykilan tentang Islam di sini. Sebarang soalan bolehlah di'email'kan kepada:
baik.kubi@gmail.com

Malu bertanya, sesat jalan~

Semoga segala usaha kita diredhai Allah SWT...

Selamat membaca~

=)

Mutabaah Ibadah

  1. membaca al-Quran serta terjemahan- sekali sehari
  2. berjemaah di waktu solat - sekali sehari
  3. solat berjemaah di masjid- sekali sehari
  4. solat di awal waktu- dua kali sehari
  5. berpuasa sunat - dua kali sebulan
  6. membaca bahan bacaan berkaitan dengan ilmu agama (artikel,blog,buku)- sekali sebulan
  7. Riadah bersama rakan-rakan- dua kali sebulan
  8. Qiamullail (solat malam)- sekali sebulan
semangat yuk kawan-kawan.. mari jaga hubungan dgn Allah^_^