Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan[ala2 blog PKPMI:P]
Diharapkan semua sihat sejahtera dalam menjalani liku-liku kehidupan, tak kiralah di mana jua anda berada^_^
Kepada yang sudah berada di Malaysia, selamat bercuti, semoga masa yang singkat dapat diisi dengan sebaiknya.
Buat yang masih berjuang di sini, teruskan perjuangan!!!
Dan akhir sekali buat yang sudah pulang dari bercuti, selamat kembali ke bumi Bandung^_~

Hmm... hari ni kita nak kongsikan mengapa kita harus mengetahui sedikit sebanyak tentang ilmu tentang hadith. Benarkah ilmu hadith tidak perlu dipelajari oleh orang awam? Jom kita terjah!!!


~**~**~**~**~**~**~**~**~**~**~**~**~**~


***SOALAN***

Apakah kelebihan bagi mereka yang mempelajari hadis dan ilmu-ilmu berkaitan dengannya?


***JAWAPAN***

Ya, memang terdapat beberapa kelebihan, di antaranya:

Pertama:

Rasulullah SAW telah mendoakan secara khusus kepada mereka yang mempelajari hadis baginda SAW dengan sabdanya:

Maksudnya: Semoga ALLAH memberikan cahaya kepada seseorang yang mendengar hadis daripadaku lalu menghafaznya sehingga dia menyampaikannya kepada orang lain[1].


Kedua:

al Syafie pernah menyebut:

Kamu semua hendaklah mendampingi orang-orang yang mempelajari hadis. Sesungguhnya mereka ialah orang yang paling tepat amalannya dalam kalangan manusia[2].


Ketiga:

Menurut salah seorang pengkaji hadis pada masa ini, Abd. Salam Allush:


Tidak ada ilmu yang lebih bermanfaat - selain berkaitan Al Quran - daripada mempelajari hadis. Sesungguhnya di dalam hadis itu terdapat tauhid, asas-asasnya, sifat-sifat ALLAH dan jenis-jenisnya, nama-nama ALLAH dan maknanya, jawapan terhadap dakwaan para mulhid (atheis), kisah-kisah umat terdahulu, cerita orang-orang zuhud, peringatan daripada para Nabi terdahulu, mukjizat bagi ahli bahasa, sumber bagi ahli fiqh, peristiwa-peristiwa dan peperangan Baginda, hukum-hakam yang Baginda SAW putuskan, maklumat tentang isteri-isterinya, anak-anaknya, keluarganya dan para sahabatnya, kisah hidup mereka (para sahabat), kelebihan-kelebihan mereka, umur mereka, keturunan mereka, keadaan serta kata-kata mereka, mazhab dan fatwa-fatwa mereka[3].



Keempat:

Mempelajari serba sedikit tentang ilmu pengkajian hadis dapat membantu seseorang untuk membezakan di antara hadis-hadis yang sahih daripada yang palsu.


Kelima:

Menurut Mohd Asri B. Zainul Abidin:


Mengetahui sedikit sebanyak disiplin ilmu hadith membantu kita mendekati dan memahami hadith. Orang awam juga sangat penting mendekati ilmu ini. Sesetengah golongan yang menyandarkan diri kepada agama kadang-kadang tidak bertanggungjawab terhadap hadith-hadith Nabi SAW. Kadangkala mereka membaca hadith yang palsu, atau membuat huraian yang salah terhadap hadith. Orang awam yang tidak mempunyai asas-asas pengetahuan dalam ilmu hadith akan mudah percaya dan terpedaya. Jika mereka dibekalkan dengan ilmu hadith ini, mereka mungkin akan berfikir semula atas sesuatu perkara berkaitan hadith yang dinyatakan, atau mungkin boleh menyoal kembali kenyataan yang dibuat[4].


Keenam:

Mempelajari hadis akan menjadikan kita memahami bagaimana Al Quran ingin diterapkan dan diamalkan di dalam kehidupan. Seluruh kehidupan Rasulullah SAW adalah merupakan terjemahan serta huraian kepada isi kandungan Al Quran. Oleh itu mereka yang ingin menjadikan diri mereka sebagai golongan yang mempraktikkan isi Al Quran hendaklah mempelajari dan mengamalkan hadis-hadis Rasulullah SAW.
Isteri Rasulullah SAW, Aisyah pernah berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya akhlak Nabi ALLAH SAW adalah Al Quran[5].


Ketujuh:

Dengan mempelajari hadis, kita akan dapat mengetahui bagaimanakah Rasulullah SAW beribadah lalu kita dapat mencontohi Baginda SAW. Kita yakin bahawa ibadah yang dilakukan Baginda SAW itulah yang terbaik dan berpeluang untuk diterima di sisi ALLAH.


-----------------------------------




[1]Hadis Sahih riwayat Abu Daud (3660) dan imam-imam lain dengan lafaz yang sedikit berbeza.
[2]Al Adab al Syar’iyyah – Ibn Muflih – jilid 1 – muka surat 231 – cetakan kedua 1996 – Muassasah al Risalah, Lubnan.
[3]Ilm Zawaaid al Hadith – Abd. Salam Allush – muka surat 13 – cetakan 1995 – Dar Ibn Hazm, Lubnan.
[4]Pendahuluan buku Selangkah Ke Arah Mengenal Al-Sunnah terbitan Karya Bestari. Buku ini adalah panduan ringkas yang amat baik berkenaan asas-asas yang perlu diketahui tentang ilmu hadis.
[5]Hadis sahih riwayat Muslim (hadis no. 1773).


**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~**~~

komen BAIK- Tiada ruginya kita seandainya kita berusaha untuk menambahkan ilmu hadith, sebaliknya kita akan mendapat manfaat yang banyak insyaAllah. Sekurang-kurangnya ambil tahu sedikit, jika tidak banyak tentang ilmu hadith sebagai bekalan buat diri kita :)


Biro.Agama.Islam.KUBI-B.A.I.K

9 Responses so far.

  1. Insoft says:

    salam kesatuan...
    "hadith ni hadith hasan"
    "oh, hadith husin yg mane?"

    bawak2 la belajor...skit2 pun ok...

  2. Dr Hana says:

    abu huzaifah- salam masam-masam manis[tetibe]

    jwpn tu dialog di atas:
    "tula, x aci hasan ada hadith tp husin xde kan???" =p

    jom belajar jom!

  3. Tanpa Nama says:

    salam...

    ada ke orang tanye camtu? mak aih,jahil beno tu,kesian...mari belajo! supaya kite lebih mengenal nabi kite,dan setersnya meneruskan kerja nabi kite, jadi pemakmur bumi. amiiiin.=)

  4. Dr Hana says:

    wsalam wbt..

    kita doakan xde ek..gurau2 je tu..hehe.
    lawan kpd jahil adalah ilmu, so jom rajin2 tuntut ilmu supaya dialog2 di atas tidak berlaku
    ^-^


    amiin..

  5. Insoft says:

    ish...kejadian sebenar tu..di alami sendiri oleh Abu Huzaifah(bukan nama sebenar)

    belajor yoep belajor...

  6. al_madd says:

    salam...mengkaji hadis itu memang bagus..

    dalam bab ibadat,kita hendaklah mengikut ulama fuqaha bukan ulama hadith..

    sila rujuk riwayat perdebatan imam bukhari dan imam syafie...

    sesuatu ibadat itu melalui proses usul fiqh...

    ahli hadith ibarat ahli farmasi
    fuqaha itu ibarat doktor

    dalam bab ibadat/feqah itu lebih baik kita merujuk kitab2 muktabar dari imam2 fuqaha..

  7. dr.radzi says:

    "dalam bab ibadat/feqah itu lebih baik kita merujuk kitab2 muktabar dari imam2 fuqaha.."

    tak faham sheikh,maksudnya macam mana? kitab2 muktabar contohnya? imam2 fuqaha contohnya?

  8. fizi says:

    Salam,

    Kekeliruan yang selalu muncul ialah apabila terlalu memisahkan antara imam mazhab yang arif dalam ulum fiqh dengan imam hadis yang arif dalam ulum hadis. Ini mengakibatkan kita gagal memahami beberapa isi penting.

    Lihat sajalah, siapakah penyusun kitab hadis pertama? Imam Malik, seorang imam hadis yang mempunyai mazhab fiqh tersendiri.

    Apakah itu Kitab Al-Umm? Sebuah kitab hadis yang dihuraikan dengan terperinci sehingga menjadi kitab fiqh yang penting hasil karya Imam Asy-Syafi`i, seorang tokoh hadis terkemuka yang mempunyai mazhab fiqh tersendiri.

    Apakah mereka yang terkenal dalam bidang hadis tidak layak dalam bidang fiqh? Lihatlah dalam fiqh Bukhariy, yang mana Imam Bukhariy mempunyai fiqhnya yang tersendiri.

    Saya bersetuju dalam bab fiqh kita perlu merujuk kepada kitab mu`tabar fiqh, namun pendapat seperti "dalam bab ibadat, kita hendaklah mengikut ulama fuqaha bukan ulama hadis" adalah kurang benar. Mereka lah yang arif dalam bidang hadis sehingga menghuraikannya sebagai fiqh.

  9. dr.radzi says:

    'like this' kat pendapat fizi.=)

Ahlan wa sahlan

ASSALAMUALAIKUM

"Selamat datang!" ke blog rasmi Biro Agama dan Kerohanian Kelab UMNO Bandung Indonesia; ataupun lebih mesra dikenali sebagai BAIK (Biro Agama Islam KUBI)

Di sini kami menyediakan ruangan khusus untuk rakan-rakan khususnya di UNPAD untuk mengetengahkan dan mengutarakan apa-apa kemusykilan tentang Islam di sini. Sebarang soalan bolehlah di'email'kan kepada:
baik.kubi@gmail.com

Malu bertanya, sesat jalan~

Semoga segala usaha kita diredhai Allah SWT...

Selamat membaca~

=)

Mutabaah Ibadah

  1. membaca al-Quran serta terjemahan- sekali sehari
  2. berjemaah di waktu solat - sekali sehari
  3. solat berjemaah di masjid- sekali sehari
  4. solat di awal waktu- dua kali sehari
  5. berpuasa sunat - dua kali sebulan
  6. membaca bahan bacaan berkaitan dengan ilmu agama (artikel,blog,buku)- sekali sebulan
  7. Riadah bersama rakan-rakan- dua kali sebulan
  8. Qiamullail (solat malam)- sekali sebulan
semangat yuk kawan-kawan.. mari jaga hubungan dgn Allah^_^