Biro.Agama.Islam.KUBI-B.A.I.K


Bismillahir Rahmanir Rahim


Assalamualaikum w.b.t


Sebagai seorang umat Islam, ramai daripada kita yang mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Sudah tersurat dalam Al-Quran, Rasulullah itu merupakan suri tauladan yang terbaik.


“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah”.
 (QS Al-Ahzab:21)


Sedang ramai daripada kalangan kita sibuk melakukan amalan-amalan sunnah harian yang diajar oleh Rasulullah S.A.W, kita terlupa salah satu sunnah 'terbesar' Rasululllah itu sendiri ; DAKWAH.


Semenjak wahyu diturunkan buat kali pertamanya, inilah amalan yang tidak pernah Rasulullah tinggalkan walau sedetik, tanpa mengenal erti penat dan lelah, tanpa mengira ancaman dan bahaya. Bayangkan, 1400 tahun dahulu, tanpa sokongan, tanpa seorang mentor, tanpa sebarang kemudahan moden, bermula dari kosong,  Rasulullah memikul beban dakwah walaupun diancam hebat oleh kaum kerabat dan saudara-mara Baginda sendiri. Betapa mereka membenci Rasulullah dan ajaran yang dibawa oleh Baginda sehingga mereka tegar untuk membunuh Rasulullah S.A.W, saudara dan darah daging mereka sendiri. Semuanya hanya kerana urusan dakwah.


Namun Alhamdulillah, hal ini sama sekali tidak menjatuhkan semangat Rasulullah untuk menegakkan 'kalamullah' diatas muka bumi ini. Tapi dapatkah kita membayangkan, apa yang akan terjadi seandainya Rasululullah berputus asa setelah menghadapi ancaman-ancaman hebat tadi, seperti kebanyakan daripada kita dalam kalangan umat Islam masa kini? Sebagai umat Islam, kita seharusnya mengikuti Rasulullah dalam setiap aspek kehidupan kita, bukan menerima yang sebahagian sunnah baginda, dan meninggalkan sebahagian sunnah yang lain.






Realiti Dakwah


Dewasa ini ramai yang keliru dengan pengertian dakwah yang sebenarnya. Kebanyakan daripada kita menganggap dakwah hanya sebatas 'tugas meng-Islamkan masyarakat non-Muslim' atau pun 'tugas para pendakwah/penceramah dan dai'e' semata-mata. Medium dakwah juga sering disempitkan dengan majlis ilmu/taklim, forum Islamiyyah, ceramah, khutbah dan program-program berbentuk kerohanian. Hakikatnya dakwah itu lebih daripada itu semua.


Dari segi bahasa, dakwah bermaksud menyeru, memanggil atau mengajak. Dari segi istilah pula dakwah bermaksud usaha menyeru seseorang kearah mentauhidkan Allah dan mengajak untuk taat kepada perintah dan ajaran dalam Islam. Ini bermaksud, sebarang usaha mengajak kepada bentuk-bentuk kebaikan dalam Islam itulah dakwah. contohnya, ajak orang pergi solat jemaah itu dakwah, ajak berpuasa itu dakwah, ajak belajar itu dakwah, ajak bercakap dengan sopan pun dikira dakwah. Dakwah boleh jadi semudah mengajak seseorang untuk tersenyum sehingga sesukar berperang di medan jihad. Asalkan ianya ikhlas kerana Allah S.W.T.


Medium dakwah juga boleh diperluaskan dengan mengajak sahabat beriadah, membaca buku, membeli-belah, memasak dan sebagainya. Rasulullah dahulu pernah berdakwah dengan bergusti dengan salah seorang ahli gusti Quraisy yang terhebat. Dalam zaman moden ini, seharusnya medium dakwah diperluaskan dengan pelbagai bentuk aktiviti seperti melayari internet, bersukan, berhibur dengan had yang sepatutnya dan lain-lain. Seharusnya seorang dai'e itu kreatif memikirkan medium-medium dakwah selain daripada apa yang telah sedia ada.






Dakwah Itu Satu Tanggungjawab


Firman Allah S.W.T dalam surah Fussilat, ayat 33 yang bermaksud :




“Dan siapakah yang lebih baik  perkataannya  daripada  orang yang  menyeru  kepada  Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata; Sesungguhnya aku dari kalangan orang muslim (yang berserah diri)?”


Ayat diatas merupakan salah satu dalil kewajiban berdakwah. Sebagai seorang Muslim, adalah wajib bagi kita menyampaikan ajaran Islam kepada orang lain, baik bagi Muslim mahupun bukan Muslim. Walau bagaimanapun dakwah bukanlah fardhu ain, ianya merupakan fardhu kifayah. Secara amnya, Islam mengajak kepada kebenaran, seseorang itu tidak perlu tunggu untuk menjadi seorang Muslim yang benar-benar soleh untuk menyampaikan kebenaran. Rasulullah pernah bersabda :


"sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat" (h.r Al-Bukhari)


Adalah tidak perlu untuk seseorang itu menunggu sehingga menjadi benar-benar alim dan soleh untuk berdakwah, cukuplah berdakwah mengikut kefahaman sendiri. Ini kerana, dakwah itu satu tanggungjwab, seperti mana kita diberi tanggungjawab untuk belajar, bekerja, berbakti kepada ibubapa dan lain-lain. Ianya bukan satu pilihan mahupun beban. Setiap tanggungjawab juga pasti akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak.


Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermaksud seorang Muslim itu tidak perlu menuntut atau memperbanyakkan ilmu untuk berdakwah. Dakwah itu perlu dilakukan secara berhikmah, dan cara yang berhikmah itu dapat diaplikasi setelah memperdalamkan ilmu dan kefahaman tentang Islam itu sendiri. Oleh sebab itu, seharusnya para dai'e memperdalamkan ilmu untuk berdakwah dan bukan sebaliknya.


Cabaran Dakwah


Tidak dinafikan, jalan dakwah itu bukanlah jalan yang mudah. jalan ini ialah jalan yang berliku-liku dan penuh duri. Rasulullah S.A.W sendiri melalui jalan ini dengan jerit-payah, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang bukan maksum. Kadang-kala kita maju melangkah, kadang-kala kita jatuh tersungkur. Kadang-kala kita mampu untuk berdiri kembali, kadang-kala kita terus rebah menyembah bumi. Namun ingatlah, penghujung jalan ini semestinya membahagiakan. Tiada kemanisan tanpa kepahitan sebelumnya, tiada kemenangan tanpa kekalahan sebelumnya. Oleh sebab itu, janganlah sekali-kali berseorangan dijalan ini. Carilah seseorang/kumpulan yang mempunyai misi yang sama agar kita saling mengingati kerana Allah. Janganlah kita mudah berputus asa dijalan ini, kerana Allah pasti membantu sesiapa yang membantu agama-Nya.





Akhir kata,


"sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam." (3:19)


Ayat ini jelas menerangkan, tiada agama yang diredhai oleh Allah kecuali Islam. Dan agama Islam bukan agama untuk amalan persendirian, ianya agama yang bersifat menyeluruh dan sejagat. Ayuh para dai'e, sambutlah cabaran ini!


Wallahua'lam.:)

Ahlan wa sahlan

ASSALAMUALAIKUM

"Selamat datang!" ke blog rasmi Biro Agama dan Kerohanian Kelab UMNO Bandung Indonesia; ataupun lebih mesra dikenali sebagai BAIK (Biro Agama Islam KUBI)

Di sini kami menyediakan ruangan khusus untuk rakan-rakan khususnya di UNPAD untuk mengetengahkan dan mengutarakan apa-apa kemusykilan tentang Islam di sini. Sebarang soalan bolehlah di'email'kan kepada:
baik.kubi@gmail.com

Malu bertanya, sesat jalan~

Semoga segala usaha kita diredhai Allah SWT...

Selamat membaca~

=)

Mutabaah Ibadah

  1. membaca al-Quran serta terjemahan- sekali sehari
  2. berjemaah di waktu solat - sekali sehari
  3. solat berjemaah di masjid- sekali sehari
  4. solat di awal waktu- dua kali sehari
  5. berpuasa sunat - dua kali sebulan
  6. membaca bahan bacaan berkaitan dengan ilmu agama (artikel,blog,buku)- sekali sebulan
  7. Riadah bersama rakan-rakan- dua kali sebulan
  8. Qiamullail (solat malam)- sekali sebulan
semangat yuk kawan-kawan.. mari jaga hubungan dgn Allah^_^