TERJEMAHAN TEKS KHUTBAH JUMAAT OLEH DR. ABD RAHMAN AL-SUDAIS
“SESUDAH HAJI YANG TERTUNAI”
Masjidil Haram, Makkah Mukarramah
15 Zulhijjah 1432H /11 November 2011M
Alih Bahasa Oleh:
Abu Fatih Al-Mubaraki [Pembimbing Jemaah Haji Ash-Har Travel]
Makkah Al-Mukarramah, 18 Zulhijjah 1432H.
KHUTBAH PERTAMA
إن الحمد لله، نحمده ونستعينُه ونستغفرُه ونتوبُ إليه، أحمده - سبحانه - أكمل لنا المناسك وأتمَّ، وأسبغَ على الحَجيج فضلَه المِدارارَ الأعمَّ، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له شهادةً نسمُو بها إلى أعلى القِمَم، وأشهد أن نبيَّنا وسيِّدنا محمدًا عبدُ الله ورسوله أزكى من أدَّى المناسِكَ وطافَ بالبيت العتيق وأمَّ، وأبانَ معالمَ الدين ورسَم بأبلغِ عبارةٍ وأوجزِ الكلِم، صلَّى الله عليه وعلى آله الأطهارِ صفوةِ الأُمَم، السالكين النهجَ القويمَ الأَمَم، وأصحابِه الأخيارِ أُسدِ العَرين ولُيُوثِ الأَجَم، والتابعين ومن تبِعهم بإحسانٍ ما قصدَ المسجدَ الحرام حاجٌّ والتزَم، وسلَّم تسليمًا كثيرًا إلى يوم الدين.أما بعد
Bertaqwalah kamu semua kepada Allah dengan Taqwa yang sebenar-benarnya. Sesungguhnya ia merupakan permata yang terlalu berharga dan peninggalan kesan yang terhebat kesan dari ibadah haji dan keagungan syiar-syiar yang telah kamu lakukan. Justeru, taqwa kepada Allah Ta’ala merupakan cahaya kepada segenap jiwa, sinar kepada setiap pandangan, rahsia yang tertinggi dan sebaik-sebaik penyelamat dari segala bahaya, maka bertaqwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya taqwa merupakan sebaik-baik bekalan
Kata syair :
“Seseorang itu mendambakan agar didatangi hasratnya, Allah tidak memperkenankannya kecuali sesuatu yang dikehendakiNya, Lantas beliau berkata : Antara faedah (kepentingan) dan hartaku dengan taqwa kepada Allah, maka itulah sebaik-baik perolehan buatku.”
Tetamu al-Rahman yang dirahmati Allah,
Beberapa hari yang lalu, kamu semua telah diberi nikmat dengan menyempurnkan rukun kelima dalam Rukun Islam, yang juga salah satu dari binaannya yang teragung dalam suasana ceria penuh keimanan, serta kestabilan keamanan yang tersendiri. Justeru hargailah nikmat ini yang sentiasa direbutkan peluangnya oleh sekelian umat. Maka murnikanlah kesyukuranmu kepada Allah yang telah melimpahkan ke atasmu dengan sebaik-baik pemberian dan nikmat, serta menyibukkan kamu dalam ibadat Haji ke rumahNya (Baitullah) yang telah dijadikan sebagai sesuatu yang kekal dan terbina kukuh kecintaan terhadapnya dan ketenteramannya dalam hati manusia. Di dalamnya terdapat balasan hebat yang tiada tandingannya. Disusuli pula selepas itu dengan perayaan Eid al-Adha yang meriah, dan hari-harinya yang gemilang lagi indah. Martabat yang hanya layak untuk meraikan detik itu hanyalah dengan memurnikan kesyukuran kepada yang Maha Memberi Nikmat Subhanahu Wa Ta’ala.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Ibrahim ayat 7:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Dan ketika kamu diberi izin mengecapi nikmat. Jika kamu bersyukur nescaya akan aku tambahkan lagi nikmatku kepadamu…”
Maka bersyukurlah kamu kepada Allah dengan kesyukuran yang sebenar. Berzikirlah mengingati Allah dengan sebenar-benar ingatan. Kamu telah berwuquf di lapangan yang terindah dalam erti memohon keampunan dan pelepasan dari segala bentuk dosa. Dalam keadaan kamu bercita-cita memperoleh pahala dan kemenangan. Kamu semua telah menempatkan diri dan jiwamu dalam siraman keampunan dan kamu melenyapkan segala noda dan kesalahan dengan untaian rahmat dan hadiah-hadiah yang mengirinya. Serta kamu bermunajat dengan berdoa dengan lisanmu yang suci, hati-hati yang khusyu’ dan jiwa yang hancur luluh, pasrah serta mata yang berbicara dengan limpahan tangisan yang mencurah-curah
Pandangan-pandangan tertumpu ke langit. Mengharapkan al-Rahman dengan nada kehinaan lantas memecah empangan tangisan yang mengalir deras umpama ombak yang menggulung dalam himpunan ketaqwaan. Tuhan Semesta Alam menyahut panggilan hambaNya ketika bertalbiah.
Detik indah di pergunungan Arafah kamu menuju kepada Allah Ta’ala dengan meninggalkan segala keburukan dan perkara yang telah lalu. Kamu telah berwuquf umpama berdirinya seorang yang fakir lagi berhajat dalam keadaan menjaga segala ketertiban dan ketulusan hati. Kamu telah menyembelih (berkorban) dengan membawa hadyu di bumi Mina, kamu melontar Jamrah kerana harapan yang terbina, kamu mengikat jiwa dan ruh di pelabuhan suci dengan melaksanakan sai’e di antara Marwah dan Safa. Di antara rukun Hajar al-Aswad dan Maqam Ibrahim mengalir keluar ungkapan-ungkapan pilu penuh keinsafan.
Di sisi rukun Hajar al-Aswad itu jugalah terhimpunnya segala kesalahan manusia lantas terlebur hancur lalu dada-dada manusia bersih dari menanggung segala dosa dalam situasi yang sama, mengharap merintih agar dimuliakan dirinya oleh Yang Maha Esa dengan pahala yang besar dan taubat yang diterima. Semuanya itu bakal terbukti dengan melakukan segala kebajikan dan ketaatan sepanjang usianya dan masa hidupnya. Hatinya sentiasa lunak dan tertarik dengan kebajikan.
Sabda Nabi s.a.w :
الحج المبرور ليس له جزاء الا الجنة
“Haji yang mabrur itu tiada ganjaran terlayak baginya kecuali syurga.”
[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah]
Tahniah kepada sekelian para pengunjung Baitullah dan bergembiralah dengan bicara hikmah dari warisan nubuwwah ini.
Allah Maha Besar! Kalimat-kalimat ini umpama permata yang terletak di hamparan sutera.
Wahai Jemaah Haji yang Dimuliakan,
Kini kamu telah berpidah ke lembaran baru dalam hidupmu, kelahiran bahagia yang diberkati, lembaran hidup yang bersinar, bersih lagi suci waktunya, sangat berharga detik-detiknya. Telah selesailah kamu melaksanakan manasik haji. Persoalannya apakah pula rencana dan perancangan selepas pulang nanti?
Tetaplah beriltizam dengan amalan-amalan soleh serta beristiqamah dengan melaksanakannya sehingga ajal tiba di penghujung usia. Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Hijr ayat 99 :
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
“Maka sembahlah (beribadatlah) kepada Tuhanmu sehingga datang kepadamu keyakinan (kepastian akan kematian).”
Maka persiapkankanlah bekalanmu wahai para jemaah Haji sekelian dari khazanah Hajimu dengan taubat nasuha dan keyakinan yang kukuh kepada Allah Ta’ala, beserta jiwa yang bersih, keperibadian yang mulia agar dapat memenuhi telaga dan lautan kehidupan dengan amalan-amalan soleh dan niat yang tulus murni.
Ditanya kepada al-Hasan al-Basri Rahimahullah. Apakah maksud Haji yang Mabrur itu? Lalu jawab beliau : “Kamu kembali dalam keadaan zuhud kepada dunia dan sangat mengharap akan kehidupan yang kekal di akhirat.”