Salah ke letak gambar kat facebook???

Sejak kebelakangan ini kita sering melihat, dengan kecanggihan Internet di masa kini, maka bercambahlah rangkaian portal sosial... maka kita juga dapat melihat gambar-gambar wanita (terutama wanita muslim) yang terpampang dengan bermacam-macam gaya sehingga menarik perhatian lelaki untuk melihatnya, walaupun secara sengaja atau tidak, diniatkan atau tidak, hakikatnya akan menarik perhatian lelaki.



Benar kan? Kaum Adam dipersilakan memberi respons..



Mungkin kaum Hawa akan bertanya, bagaimana pula dengan kaum Adam? Bukankah tidak adil kiranya hanya tindakan Hawa yang dibincangkan?




"Tak adillah macam ni..."



Lantas bagaimanakah hukum bagi situasi ini?



Kupasan:

Allah berfirman:
Ertinya:
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada
apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari
jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang.
Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik
(syurga).( Ali 'Imran: 14)

Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy menyatakan lelaki dan wanita itu sama-sama menempuh ujian, namun harta yang diujikan kepada wanita itu nampaknya sangat berat dan menentukan. Sebab, hawa nafsu itu dalam berbagai bentuk dan rupanya merupakan salah satu ujian yang sangat berat, yang dapat menggelincirkan pelakunya di muka bumi ini, dan wanita berdasarkan pernyataan Allah s.w.t merupakan salah satu unsur utama dan pertama dari hawa nafsu yang meluncurkan itu.



betapa Islam amat menjaga kehormatan wanita~



Allah s.w.t menempatkan wanita pada deretan pertama dan teratas diantara hawa kesenangan hidup di dunia. Kalau ia tidak benar-benar lebih penting dan berbahayanya dari yang lain, tentulah ia tidak ditempatkan di peringkat teratas. Nah, dengan demikian jelaslah bahwa wanita itu dalam kehidupan manusia merupakan ujian dunia yang paling berat dan paling berbahaya. [Risalah untuk Wanita Mu’minah – Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy m/s 6 ]



Benarlah apa yang di sabdakan Rasulullah saw:
Aku tidak meninggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi laki-laki dari para wanita
[Bukhari dan Muslim]
Musuh-musuh Islam telah mengetahui bahawa bermulanya kerosakan wanita bererti akan berlakunya kerosakan terhadap masyarakat . Mereka tidak perlukan senjata canggih untuk menghancurkan umat Muhammad tetapi cukuplah merosakkan wanita kerana itulah yang dapat menenggelamkan umat Muhammad dengan hanya cinta wanita dan nafsu seks maka sebab itulah wanita merupakan aset utama yang menentukan jatuh bangunnya satu bangsa.



Jom kita sama-sama renungi kata-kata Syeikh Ali Ath-Thathawi :
Benar bahawa lelakilah yang memulai langkah pertama dalam lorong dosa,
tetapi bila engkau tidak setuju,
laki-laki itu tidak akan berani,
dan andaikata bukan
lantaran lemah gemalaimu,

laki-laki tidak akan bertambah parah.
Engkaulah yang membuka pintu,
kau katakan kepada si pencuri itu :
silakan masuk..
ketika itu ia telah mencuri ,
engkau berteriak :
pencuri…! Tolong…tolong…
Demi Allah…
dalam khayalan seorang pemuda tidak melihat gadis
kecuali gadis itu telah ditelanjangi pakaiannya..
Demi Allah…
begitulah jangan engkau percaya apa yang dikatakan laki-laki ,
bahawa ia tidak akan melihat gadis
kecuali akhlak dan budi bahasanya.
Ia akan berbicara kepadamu sebagai seorang sahabat.
Demi Allah… ia telah bohong!
Senyuman yang diberikan pemuda kepadamu,
kehalusan budi bahasa dan perhatian,
semua itu tidak lain hanyalah
merupakan perangkap rayuan!
Setelah itu apa yang terjadi?
Apa?
Cuba kau fikirkan!


Itulah kerosakan sebahagian kaum Adam.Entah berapa ramai laki-laki yang dapat memelihara pandangannya melainkan hanya segelintir sahaja kerana fitrah laki-laki, nafsunya hanyalah satu iaitu pada wanita tetapi apabila tidak dikawal maka rosaklah mereka.Malah akan bertambah rosak lagi jika kaum wanita tidak memainkan peranan yang sepatutnya...



Komen BAIK: Maka, bangkitlah wahai wanita-wanita sekalian. Marilah kita bersama-sama memperbaiki diri, kerana selembut-lembut tangan yang menghayun buai, tangan itu jugalah yang mampu 'menggoncangkan' dunia... "Behind a man, there is always a woman." Jom kita sama-sama renungi sifat-sifat isteri-isteri Baginda Rasulullah SAW seperti Saidatina Khadijah dan Saidatina Aisyah RA, sesungguhnya zaman kita masih ketandusan srikandi-srikandi sebegini...
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali
kepada asing seperti permulaannya , maka beruntunglah orang-orang yang asing,
Rasulullah ditanya : siapa mereka wahai Rasulullah ? Rasulullah menjawab: mereka
yang mengadakan pembaikan ketika manusia rosak
[HR. Tirmidzi : sohih]


Oleh itu, rakan-rakanku(khususnya wanita), janganlah ragu-ragu sekiranya kita dikatakan kolot dan aneh dalam mengerjakan suruhanNya oleh manusia kerana sesungguhnya pandangan manusia terhadap kita akan luput dan hilang, namun Allah tidak pernah sesekali melupakan setiap amalan para hambaNya...

Jadi, marilah kita bersama-sama mencari redha Allah SWT. Sama-samalah kita menjaga diri kita daripada terus-terusan menjadi fitnah kepada kaum lelaki. Cuba bayangkan, semasa kita seronok bergambar dan ber'posing' di hadapan kamera dan terdapat lelaki yang memandang, tidakkah kita merasa malu? Jadi bawalah rasa malu itu ke mana-mana. Malulah kita untuk menunjuk-nunjukkan diri kita kepada yang bukan muhrim. Tepuk dada, tanyalah iman...

Untuk renungan bersama:

Imam Ali Abi Thalib berkata, “Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barangsiapa berilmu maka dia harus berbuat(amalkan). Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.”

Wallahua'lam...


p:s/ ltak gamba kucing je kt facebookku....ooops, kantoiiiiiiii~ =)

Tak boleh ke campur ibadah sunat dan wajib???

Mulakan dengan bismillahirrahmanirrahim....

Entry kali ini dimulakan dengan dua soalan yang mudah dan 'straight to the point'...
1.Pernahkah anda menggabungkan puasa sunat[syawwal] dan puasa ganti[qada']?
2.Pernahkah pula anda menggabungkan solat fardhu 5 waktu dan solat sunat;contohnya tahajjud?

Mungkin bagi soalan pertama, jawapannya adalah
"Oh,pernah3! Biasalah tu kan?";
manakala bagi soalan kedua, jawapannya adalah
"Tak pernah pun.. Boleh ke nak gabung-gabung camtu? Macam pelik je"
betul tak?

Persoalannya, mengapakah pula jawapan bagi kedua-dua soalan ini berbeza??

Kupasan:

Jika anda bertanya manakah yang lebih baik antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha, jawapannya adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih ertinya :

“Tidak hampir kepadaku orang yang ingin hampir kepadaKu
sebagaimana apabila mereka melaksanakan amalan fardhu / wajib mereka, dan
sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan
amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…”
(Riwayat Al-Bukhari)
Amat jelas hadis ini menjelaskan amalan fardhu atau wajib lebih utama di sisi Allah SWT dari yang sunat, walau sehebat mana sekalipun yang sunat itu...

Hadis tadi sebagai asasnya, tetapi dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksud saya begini, jika seseorang itu perlu qadha puasanya selama 30 atau berpuluh-puluh hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat sehingga mampu mengerjakan syawwal terlebih dahulu, ketika itu mungkin ia boleh mendahulukan puasa syawwal[sunat] bagi mengejar waktunya yang singkat berbanding qadha.

Tapi kita pun kenalah ingat, walaupun waktu bagi puasa qadha adalah panjang, tetapi kita tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu? Atau ajalkah yang akan menjemput dahulu? Fikir-fikirkan...
Tak eloklah seandai kita ni sihat tubuh badan, tapi kalau boleh semua benda mahu digabungkan semata-mata demi memudahkan kehidupan kita. Ini kerana tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk digabungkan ibadah wajib dan sunat.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik, bukankah begitu?

Kesimpulannya: Kita sangatlah digalakkan untuk tidak menggabungkan yang wajib dan yang sunat, sebaliknya elok sangat mendahulukan yang wajib sekiranya kita masih sihat dari mental dan fizikal; walaubagaimanapun dianggap sebagai rukhsah[keringanan] bagi mereka yang mempunyai keuzuran dan tidak mampu untuk mengasingkannya...


komen BAIK: Islam itu mudah, tetapi janganlah kita memudah-mudahkan agama kita. Takut nanti di akhirat Allah memudah-mudahkan pula amalan kita. Sesungguhnya Allah itu berada atas sangkaan hamba-hambaNya...

Semoga bermanfaat=)
Wallahua'lam...

p:s/ Suka minum air cincau+sirap bandung=cincau bandung, tapi bukan semua benda boleh main campur-campur maaaaa....=)

Tak boleh ke forward SMS???

Mulakan dengan bismillahirrahmanirrahim...
Pernahkah anda menerima surat berantai? Iaitu email, friendster message ataupun kini, instant message melalui YM yang meminta anda memforwardkannya kepada rakan-rakan? Barangkali anda pernah menerima message sebegini:

Mimpi Syeikh Ahmad Maeini (yang didakwa penjaga Makam Nabi
Muhammad saw) kononnya beliau bermimpi didatangi Rasulullah yang berkata antara 60,000 orang yang mati, tiada satu pun yang beriman.
Si penerima disuruh mencetak 20 salinan dan dihantarkan kepada 20 orang. Dalam surat itu juga menceritakan ‘kebaikan’ yang diterima bagi orang yang mencetak dan menghantarnya seperti keuntungan dalam perniagaan, dinaikkan pangkat atau menerima anugerah.

Sebaliknya orang yang tidak mengendahkannya akan ditimpa malang
dan mala petaka.


Persoalannya...

Siapakah Syeikh Ahmad Maeini? Adakah dia benar-benar wujud?Benarkah dalam zaman sekarang antara 60,000 orang yang mati, tiada seorang pun yang beriman?Boleh ke kita mempercayai surat berantai seperti ini dan mencetak serta mengedarkannya bagi mengelak ditimpa bencana?
Surat berantai ini sama seperti SMS berantai yang menyuruh kita menghantar kalimah al-Quran (yang dieja dalam Bahasa Melayu) dengan tujuan sama. Bolehkah kedua-dua ini diabaikan begitu saja?
Satu lagi contoh:
“Pemimpin Hizbullah Lebanon, Sayid Hasan Nashrullah meminta
seluruh masyarakat muslimin untuk melafazkan ayat Quran berikut: Surah Al-Fath ayat 26-27, Surah Yunus ayat 85, 86 dan 87 pada malam ini. Tolong sebarkan agar Israel hancur. Sebarkan kepada seluruh umat Islam.”
"Macam mana nak buat ni???" -sekadar selingan=)

Kupasannya :
Amat malang dalam dunia maju sekarang ini, masih ramai yang jahil tentang perkara seremeh ini (tetapi mempunyai kesan yang amat besar kepada aqidah)...
Surat berantai atau surat beracun jika dilihat sebagai surat peringatan untuk orang lain supaya tidak lalai akan perintah Allah dan sentiasa melakukan kebaikan, boleh dianggap sebagai jalan dakwah. Namun, haruslah kita pastikan bahawa sumbernya Al-Quran dan As-Sunnah kerana sebagai umat Islam hanya itu sahaja pegangan yang wajib kita imani.

Bagi contoh pertama, unsur syirik di dalamnya menyebabkan orang yang mempercayainya menjadi sesat. Unsur syirik itu ialah percaya surat itu ada kuasa tersendiri memberi untung pada yang mencetak dan bala pada yang ingkar mencetaknya.


Ia seumpama tangkal yang ada kuasa memberi kebaikan atau malapetaka dan malang. Sesiapa yang percaya ada kuasa lain memberi kebaikan dan keburukan pada dirinya; ia adalah unsur syirik yang boleh menggugat akidah.Soal siapa mati dalam iman dan berapa ribu jumlah mereka adalah kuasa Tuhan, tiada keperluan untuk kita mengetahuinya, tetapi lebih baik bersiap untuk mati dalam iman.


Jangan turut serta sebarkan dengan niat mengelak bencana yang bakal menimpa (jika engkar menyebarkannya melalui surat atau SMS) kerana ia mungkin menggugat akidah kita...
Dalam perkataan yang mudah, setiap perkara yang kita lihat atau dengar, haruslah dipastikan kesahihannya. Dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang Tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman!Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Nah. Islam sendiri menyuruh kita memeriksa dahulu setiap berita yang kita terima dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan orang lain, bimbang pula seandainya kita menjadi penyebab rosaknya aqidah seseorang...Na'uzubillah...
Contohnya jika ada orang datang kepada kita dengan mengatakan kita harus berhenti memakan makanan berprotein kerana membawa mudarat. Adakah boleh dipercayai bulat-bulat? "Mungkin lepas ni saya patut makan nasi dan sayur sahaja..??" Bukankah itu kurang rasional? Lepas tu kita pergi sebarkan pada kawan-kawan, kesianlah mereka selepas itu kekurangan protein dalam badan pula....;P

Padahal kita umumnya sudah mengetahui bahawa protein merupakan nutrisi penting yang diperlukan oleh tubuh badan kita untuk membolehkan pertumbuhan badan, bagi mengganti sel-sel yang telah mati, dan sudah tentu banyak lagi. Jadi kita mestilah mengkaji dan menyelidik apa-apa yang kita terima sebelum memutuskan untuk menyebarkannya kepada orang lain...Analogi yang mudah kan?

Mari kita sama-sama menghayati kalam Allah dalam surah Al-An'am:
…Adakah kalian menyaksikan ketika Allah menetapkan yang demikian (sebagaimana yang didakwa oleh golongan tersebut) bagi kalian? Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia tanpa pengetahuan?Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. [144] Katakanlah: “Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan
kepadaku…” [145].


Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa penetapan dalam agama tidak boleh berlaku kecuali dengan wahyu ilahi (sama ada Al-Quran atau As-Sunnah). Ada pun golongan yang menetapkan sesuatu tanpa bimbingan wahyu, lalu disandarkan kepada agama, disebut sebagai golongan yang zalim, dan Allah mengatakan bahawa Dia tidak memberi petunjuk kepada golongan yang zalim ini. Dan kita sebagai umat Islam pun haruslah berhati-hati apabila berdepan dengan golongan sebegini...

Komen BAIK: Hendak jadi BAIK, haruslah jadi BIJAK...:)

Wallahua'lam bissawab...

p/s: Forward JARKOM sudah....hehehe

Ahlan wa sahlan

ASSALAMUALAIKUM

"Selamat datang!" ke blog rasmi Biro Agama dan Kerohanian Kelab UMNO Bandung Indonesia; ataupun lebih mesra dikenali sebagai BAIK (Biro Agama Islam KUBI)

Di sini kami menyediakan ruangan khusus untuk rakan-rakan khususnya di UNPAD untuk mengetengahkan dan mengutarakan apa-apa kemusykilan tentang Islam di sini. Sebarang soalan bolehlah di'email'kan kepada:
baik.kubi@gmail.com

Malu bertanya, sesat jalan~

Semoga segala usaha kita diredhai Allah SWT...

Selamat membaca~

=)

Mutabaah Ibadah

  1. membaca al-Quran serta terjemahan- sekali sehari
  2. berjemaah di waktu solat - sekali sehari
  3. solat berjemaah di masjid- sekali sehari
  4. solat di awal waktu- dua kali sehari
  5. berpuasa sunat - dua kali sebulan
  6. membaca bahan bacaan berkaitan dengan ilmu agama (artikel,blog,buku)- sekali sebulan
  7. Riadah bersama rakan-rakan- dua kali sebulan
  8. Qiamullail (solat malam)- sekali sebulan
semangat yuk kawan-kawan.. mari jaga hubungan dgn Allah^_^